Thursday 28 March 2013

Bukan Doa Kamu Yang Tak Makbul Sebenarnya

Bercakap tentang doa, saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.
Cerita yang saya dengar itu begini:

Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.

Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hanya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkanlah segala doa abang aku”
MasyaALLAH

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang. Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.

“Aku buat beginilah yang jadi begini.”
“Doa aku makbul seh!”
“Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun.”

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.
Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.
Cerita itu sangat menyentuh hati saya.

Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.

Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.

Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.
Semoga Allah redha dengan kita.

MARI MENJADI HAMBA!

Doa untuk anak-anak

Assalamualaikum kawan-kawan
Hari Jumaat lepas saya mendengar radio IKIM dalam slot usrati membincangkan tentang kepentingan ibadah dalam keluarga.Terlalu banyak ilmu yang saya dapat walaupun tak sempat saya nak catit satu persatu. Tetapi ada satu perkara yang dibangkitkan oleh Ustazah jemputan betul-betul telah menarik perhatian saya.
Sebenarnya, waktu itu juga kalau boleh saya ingin berkongsi tentang menariknya perkongsian dari ustazah itu, tetapi kerana kerja yang banyak, lalu saya tangguhkan sahaja. Tetapi bila fikir tentang kerja yang memang tak akan pernah sudah, sampai bila mahu menangguh kan? Jadi hari ni sebelum saya terlupa, baik saya kongsikan dengan ibu bapa kat sini.
Ada satu DOA yang mudah dan cepat dan pendek, yang paling senang untuk diamalkan oleh kedua ibu bapa untuk anak-anak mereka, tetapi sering sahaja terlepas pandang.
Doa itu adalah :
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH YA .... (sebutkan nama penuh anak)
Ya. Itu sahaja baris doanya. Mudah bukan? Tetapi termasuklah saya, sangatlah selalu terlepas pandang akan keistimewaan doa ini. Ok, mari di sini kita catatkan mengapa doa ini terlalu istimewa untuk anak-anak kita :
Pertama sekali, ibu bapa hendaklah menjiwai doa itu sedalam dalamnya semasa ia diucapkan buat si anak. Mengapa? Kerana maksud yang terkandung di dalamnya sangatlah membantu dalam kehidupan seharian anak. Selalu kita hanya sebut Assalamualaikum sahaja kan.. (ini saya). Selepas mendengar penjelasan ustazah itu, saya cuba kalau boleh ingin mengucapkan nya penuh kepada anak saya. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH dengan cuba menjiwai setiap ungkapan yang diucapkan. Kenapa istimewa? Mari kita tengok maknanya (ini yang saya sempat salin. Kalau ada yang saya tertinggal, minta kawan-kawan tambah ya):
 1- ASSALAM : SEJAHTERA.
Awal-awal lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita pada hari itu. Kita mendoakan segala kesejahteraan buat dirinya pada waktu itu.
 2- WARAHMATULLAH : RAHMAT ALLAH.
Kita mengharapkan rahmat Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka. Bukankan rahmat Allah itu yang sangat-sangat kita harapkan?
 3- WABARAKATUH : BERIKAN BERKAT KEPADANYA WAHAI ALLAH
Kita mendoakan anak-anak kita diberi berkat oleh Allah, dalam setiap amalannya, perbuatannya, dan apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya, kita mahukan keberkatan untuknya.
 Lalu, memang 'terbuka' lah mata saya pada hari itu, betapa bermaknanya ungkapan doa yang cukup ringkas ini untuk anak-anak.
 Kata ustazah itu, waktu paling bagus untuk mengucapkannya buat si anak adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. Bayangkan sahaja lah, celik-celik matanya sahaja sudah memperoleh doa dari ibu atau ayah yang cukup bermakna lagi indah untuknya. Selain itu, boleh juga diamalkan mungkin waktu menghantar atau menjemput dia dari sekolah, atau bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya untuk anak.
 Jiwailah salam dan doa itu. Hayati setiap rangkai maksudnya. Tujukan dengan penuh kasih dan cinta buat si anak. Senyum penuh sayang kepada mereka, ketika kita mengucapkan.
 Semoga anak-anak kita sentiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan sentiasa diberi keberkatan dalam hidup mereka oleh Allah.
Doa yang sama kita ucapkan kepada kawan-kawan kita apabila memberi salam juga insyaallah =)
Dan saya teringat pula petikan hadis yang saya baru baca pagi tadi di blog ustazah Siti Khadijah yang berbunyi:

“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi. Kredit blog Tim Hadith Psikologi Nabi

Wallahua'alam.

Kisah Kaabah yang tidak diketahui ramai **SELAMAT MEMBACA**

Kisah Kaabah yang tidak diketahui ramai

gigitankerengga.blogspot

kamal_hasan



  
 

Mekah merupakan tanah suci bagi umat Islam di mana berdirinya sebuah struktur hebat iaitu Kaabah yang menjadi tidak, lambang dan panduan qiblat untuk semua umat Islam di seluruh dunia. Berikut adalah 15 perkara tentang Kaabah dari sudut sains yang tidak diketahui ramai.



1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.



2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.



3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.



4. graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi.



5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.



6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.



7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.



8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.



9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.



10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.



11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.



12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.



13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.



14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.



15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.



- Sekadar penyampaian dari artikel asal, zaidimokhtar.com

Adil dengan Anak-Anak

  
Salah satu rahsia supaya anak-anak terus berbakti dan patuh kepada ibu bapanya adalah dengan bersikap adil dan saksama terhadap mereka.
Ada kalanya dalam mendidik anak-anak,ibu bapa tersilap atau secara tidak sengaja  berlaku pilih kasih dalam memberi kasih sayang atau perhatian.
Sekalipun anak-anak lahir dari rahim ibu yang sama, namun sikap dan tingkah laku mereka berbeza-beza.
Contohi golongan salafussoleh,adil mereka walaupun dalam memberi ciuman kepada anak-anak.
Jadi ibu bapa perlu mempunyai kemahiran keibu bapaan untuk bersikap adil kepada semua anak-anak.

Mengapa Perlu Bersikap Adil?

Allah berfirman yang bermaksud " berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.Dan bertaqwalah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".(Surah al-Maidah 5:8)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud " berlaku adillah antara anak-anak kamu".(Riwayat Ahmad,Abu Daud,al-Nasa'i dan Ibn Hibban)
  • Jelaslah daripada ayat dan hadis diatas,mahu tidak mahu,ibu bapa wajib berlaku adil kepada anak-anaknya. Dilarang membeza-bezakan atau mengistimewakan anak berbanding anak-anak yang lain.
Ganjaran daripda Allah

Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang berbuat adil itu di sisi Allah kelak,berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya.Iaitu mereka yang berlaku adil dalam memutuskan hukum dan bertindak adil terhadap bawahan(rakyat,keluarga)mereka".(Riwayat muslim)
  • Jika kita sentiasa adil kepada anak-anak,kita akan dapat melihat hasil didikan yang baik misalnya anak-anak tidak mementingkan diri,tidak dengki mendengki,tidak bermusuhan dan sebagainya.Sebenarnya jika berlaku adil,anak-anak juga lebih mudah mengikut kata.
Bagaimana bersikap Adil?

Adil bermaksud meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya,memberi hak kepada yang berhak dan mengambil hak daripada yang tidak berhak.
Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh ibu bapa supaya dapat bersikap adil pada tempatnya:

Faktor Usia Anak-anak
  • Umur anak-anak dari tujuh tahun ke bawah perlu dilayani dengan kasih sayang.Ketika berumur tujuh tahun kedua,kita perlu menerapkan disiplin dan tegas dalam mendidik seperti menerapkan soal adab dan akhlak.
Faktor Watak dan Bakat Anak-Anak
  • Watak dan bakat anak-anak tidak sama sekali pun berasal dari rahim ibu yang sama.Setiap anak dilahirkan dengan potensi yang berbeza-beza.Mengapa hendak dibandingkan anak yang masih kecil dengan anak orang lain? Ibu bapa yang adil akan sentiasa memberi kesempatan dan bimbingan kepada anak-anaknya.Kemungkinan potensi dan bakat anak-anak lebih menyerlah atau mencapai prestasi yang maksimum.
Faktor keadaan fizikal Anak-Anak
  • Menurut al-Damiri,berlaku adil kepada anak-anak itu dituntut sekalipun dalam memberi ciuman kepada mereka.Bahkan al-Syeikh Sulaiman al-Jamal berkata "Ibu bapa bukan sahaja perlu adil dalam pemberian,bahkan berlemah lembut dalam percakapan dan sebagainya."
  • Dalam pemberian hadiah,anak perempuan didahulukan sesuai dengan fitrahnya yang suka dimanja.Ini sunnah Rasulullah iaitu mengutamakan pemberian kepada anak perempuan. 
Rasulullah Tetap menjadi Idola
  • Ceritakan akhlak Rasulullah s.a.w.Ceritakan bagaimana baginda rajin,cermat,bersungguh-sungguh dalam setiap perkerjaan dan sebagainya.
  • Wahai ibu bapa,lawan kepada bersikap adil ialah zalim.Kita takut tergolong dalam golongan orang yang zalim jika tidak memberi hak dalam pelajaran,kasih sayang,tidak menjadi contoh pada anak-anak,memukul tanpa sebab dan sebagainya.
Jika kita sebagai ibu bapa pernah tidak berlaku adil dan perselisihan antara anak-anak,maka ikutilah cara bagaimana Rasulullah s.a.w menanganinya

Solat selepas haid : Perkara yg dipandang ringan..

SOLAT SELEPAS HAID : PERKARA YG DIPANDANG RINGAN..
Pengetahuan Islam kepada sesiapa yang bernama wanita ISLAM!!!


Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi?? Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/ ...yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz- ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya )

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ; "adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan: "alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa... Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur.

Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu..

Dalam BAB TIGA :
" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.
2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)
HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)
2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?
- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.
- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.
3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.
-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.
-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)
-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.

Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.
Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri!!!

TOLONG SEBARKAN KEPADA ORANG LAIN DEMI SAHAM AKHIRAT ANDA !!!

Azab Anak Derhaka Hadapi Sakaratul Maut

Written by Biro Agama, Pendidikan & Kebajikan   
Friday, 29 May 2009 09:39

(Penulis mohon maaf seandainya nama yang dipaparkan secara kebetulan yang bukan ada kaitan dengan yang telah meninggal dunia ataupun yang masih hidup ).

Maseh kedengaran suara ini merintih ketika penulis melalui detik yang mencemaskan ketika itu...........Sebaik saja sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya. Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. 
Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.
Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."

Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak.
Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
"Panggil ibunya segera," kata saya.
Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya saya.
Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas."
"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.
"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya.
Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan.
Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.
"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.
"Ahhh, saya tak kira."
"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun.
Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri.
Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal.
Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan.
Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.
Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.
"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke situ' dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan.
Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering.
"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.
Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya.
Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas ‘rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan hadis,
Ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu.

Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung.
Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami.
Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut.
Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah.
Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham.

"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."
"Apa masalahnya itu?" tanya saya.
"Kubur adik saya berlubang ustaz."
Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan.
Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.
Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan.
Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang.
Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya.
Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.
Semoga apa yang tertulis dan dibaca sebagai iktibar dan renungan kita bersama sementara ibu dan bapa yang maseh hidup jangan sesekali anak mengerdik atau membantah dalam siatuasi yang tidak menyenangkan

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR


Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan..  Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Adam dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan,  ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari…

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan   dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)  dan hati (iman) sahaja  dapat menjangkau hikmah yang terkandung  di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah  bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi  demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah  dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua.

Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan  maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216
Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa  nikmat di sisi Allah  itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:

”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

Sharing is Caring

Guide to A Better Life
Seorang pesakit kanser pankreas yang meninggal pada tahun 2008 telah menulis sebuah buku yang bertajuk “The Last Lecture” di mana buku ni adalah antara bestsellers pada tahun 2007.
Salah satu legasi yang hebat yang ditinggalkan.
Dalam surat beliau kepada isteri nya dan anak-anaknya , beliau telah menulis ‘Guide to A Better Life’ untuk menjadi panduan kepada mereka.
Diubahsuai dari bahasa inggeris dan dikongsikan melalui forwarded email. 
 
Bagaimana Untuk Memperbaiki Kehidupan Kita 

 
Personaliti 


1. Jangan membandingkan kehidupan anda dengan orang lain  Anda tak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka yang sebenarnya.
2.  
Jangan ada perasaan negatif   pada perkara-perkara yang tidak dapat anda kawal. Tanamkan semangat positif di dalam kehidupan anda hari ini
3. Jangan berlebihan, tetapkan had
4.
Jangan terlalu serius, tiada siapa yang serius
5.
Jangan bazirkan tenaga dengan ber’gossip’
6. Bermimpilah ketika anda berjaga
7.
Mengagumi cuma membuang masa. Anda sudah ada apa yang anda perlukan
8
.   Lupakan kisah yang lama  Jangan ingatkan pasangan anda tentang kesilapan beliau di masa lampau. Ia cuma akan merosakkan kebahagiaan anda sekarang
9
.   Hidup terlalu pendek untuk membuang masa membenci sesiapa. Jadi jangan membenci sesiapa 10. Berdamailah dengan masa lalu supaya ia tidak merosakkan hari ini
11.   Tiada siapa yang dapat mengawal kebahagiaan anda kecuali anda sendiri
12. Sedarlah bahawa kehidupan ini adalah umpama sekolah dan anda berada di sini untuk belajar. Masalah yang muncul seumpama ko kurikulum dan akan menghilang seperti kelas algebra tetapi akan menjadi pembelajaran yang anda akan ingat sepanjang hayat
13. Lebihkan senyum dan ketawa
14.  
Anda tidak perlu menang dalam pertelingkahan. Setuju untuk bersetuju 
 
Komuniti

15. Kerap menelefon ahli keluarga
16. Setiap hari berikan sesuatu yang terbaik untuk orang lain
17.  
Maafkan semua orang untuk segala galanya
18.
Luangkan lebih banyak masa dengan seseorang yang berusia 70 tahun ke atas dan bawah 6 tahun 19. Cuba buatkan sekurang kurangnya 3 orang tersenyum setiap hari
20.  
Apa yang orang lain fikir tentang anda bukan masalah anda
21.
Pekerjaan anda tidak akan menjaga anda apabila anda sakit. Tapi keluarga dan kawan-kawan yang akan menjaga anda. Jadi sentiasa berhubung dengan mereka 
 
Kehidupan
22
.   Letakkan Allah dalam apa jua yang anda fikir, cakap dan akan lakukan
23.  
Allah akan mengubati segala galanya
24. Buat perkara yang betul
25.   Bagaimana buruk atau baiknya sesuatu situasi itu, ia pasti akan berubah
26.
Walau bagaimana anda rasa, anda masih perlu bangun, siapkan diri dan bersedia
27. Yang terbaik masih belum tiba, tetapi akan tiba
28.   Hapuskan perkara-perkara yang tidak berguna, tidak cantik dan tidak menggembirakan
29.  
Bila anda terjaga di pagi hari, berterima kasihlah kepada Allah
30.   Kalau anda dekat dengan Allah, anda akan sentiasa gembira. Jadi, gembiralah 

 
Sambil sambil anda mempraktikkan semua perkara di atas, kongsikan pengetahuan ini dengan orang-orang yang anda sayang, orang-orang yang anda pernah bersekolah bersama, orang-orang yang anda luangkan masa bersama, orang-orang yang anda bekerja bersama dan orang-orang yang tinggal bersama anda.
Ianya bukan sahaja dapat memperbaiki kehidupan anda, juga orang-orang di sekeliling anda.
 
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...